Perjuangan Belum Selesai

Tuesday 29 November 2011

Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 diluluskan

KUALA LUMPUR 29 Nov. — Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak akhirnya diluluskan selepas melalui perbahasan kira-kira dua setengah jam pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Rang Undang-undang itu dibacakan kali kedua oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Nov lepas. Bacaan kali pertama pada 22 Nov oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Walaupun anggota parlimen dari pembangkang bertindak keluar Dewan ketika sesi penggulungan, rang Undang-undang itu tetap diluluskan dengan enam pindaan telah dilakukan yang bertujuan membenarkan warganegara menganjurkan dan menyertai perhimpunan secara aman dan tanpa senjata dengan sekatan-sekatan yang difikirkan perlu dan demi kepentingan ketenteraman dan keselamatan awam.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011, Mohamed Nazri berkata, apa yang dilakukan kerajaan berhubung rang undang-undang berkenaan tidak melanggar Perlembagaan negara dengan intipati pentingnya adalah untuk memberi nafas baru kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memasukkan elemen-elemen kebebasan berhimpun secara aman iaitu hak berhimpun tanpa senjata. — Bernama

Sumber Dari Utusan Malaysia

Cakna Siswa Timur: "apa yang dilakukan kerajaan berhubung rang undang-undang berkenaan tidak melanggar Perlembagaan negara dengan intipati pentingnya adalah untuk memberi nafas baru kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memasukkan elemen-elemen kebebasan berhimpun secara aman iaitu hak berhimpun tanpa senjata"

Perkara 10 Fasal (4): Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan Bahagian 3, Perkara 152, 153 dan 181 berhubung dengan apa-apa jua melainkan berhubung dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.

No comments:

Post a Comment