KUALA LUMPUR 29 Nov. — Pertandingan Pidato Politik Piala Perdana Menteri anjuran Pemuda Barisan Nasional (BN) boleh dijadikan medan mencari bakat pemimpin muda, kata Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, kejayaan penganjuran program, yang julung kali diadakan, dengan penyertaan ramai peserta muda pelbagai kaum mendorong program itu untuk dijadikan acara tahunan BN.
"Ini merupakan satu program mencari bakat, yang saya rasa penting dalam BN dan cara yang paling berkesan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertandingan akhir program itu di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Khairy, yang juga Ketua Pemuda UMNO, berpendapat, ciri utama seorang pemimpin adalah menjadi penghujah paling berkesan.
Beliau berkata, penglibatan ramai generasi muda dalam program itu menunjukkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada Khamis lalu bagi membolehkan mahasiswa menyertai parti politik adalah tepat. — Bernama
No comments:
Post a Comment