Assalamualaikum & Salam 1 Malaysia...
Memandangkan sekarang ni di kampus2 tengah hangat dengan persediaan untuk menghadapi 
Pilihanraya Kampus (PRK), CST nak share ngan bakal2 calon & Mahasiswa yang bertanggungjawab untuk memilih pemimpin pelajar. CST harap pemimpin yang di pilih adalah yang btol2 mampu untuk memimpin dan bukannya hanya sekadar inginkan nama & jawatan. CST dapat maklum yang PRK bakal berlangsung di IPT dalam bulan 3 nanti. Untuk persediaan awal, jom kita baca keratan akhbar dari 
Sinar Harian di bawah ni. 
 
SHAH ALAM - Kewajaran mahasiswa terlibat dalam politik telah lama 
diperkatakan, sama ada politik kampus ataupun politik negara melibatkan 
parti-parti tertentu. Rata-rata penuntut yang ditemui bersifat 
berkecuali daripada terlibat dengan politik tetapi tidak menolak untuk 
menyokong mana-mana pemerintah.
 Saban tahun ratusan mahasiswa mendaftar di universiti dan kolej dengan 
pelbagai keinginan, matlamat dan gaya penampilan untuk menambah ilmu di 
dada. Teruja mengulang kaji pelajaran untuk mendapat segulung ijazah 
dalam pelbagai bidang di menara gading. 
  
 Kehidupan yang mencabar di kampus sedikit sebanyak mempengaruhi 
kecenderungan mereka bertembung dengan isu semasa yang melibatkan 
kepemimpinan, keilmuan, pergerakan politik dan perjuangan peribadi.
  
 Namun dicelah-celah kekalutan menimba ilmu terdapat segelintir penuntut
 yang membawa fahaman politik masing-masing di luar ke dalam kampus. 
Tidak salah jika mereka ini hanya sekadar berpolitik di dalam kampus 
untuk bertanding merebut kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), sekali 
gus melahirkan mahasiswa lebih berintegriti.
  
 Sebaik menjejak kaki di kampus, mahasiswa dihidangkan dengan satu 
fenomena yang dinamakan politik kampus bagi melantik pemimpin dalam 
kalangan mereka. Golongan inilah antara prospek kelompok boleh 
dipergunakan oleh mana-mana pihak yang melihat mereka mudah 
dipengaruhi.
  
 Maka pada sesi tertentu penamaan calon dan perang poster rancak 
dijalankan bagi membolehkan calon-calon terbaik bertanding seterusnya 
menjawat jawatan dalam MPP.
  
 Timbalan Dekan Pusat Pengajian Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
 (USM), Prof Madya Dr Siva Murugan berkata, setiap penuntut di 
universiti atau kolej boleh berpolitik di luar, tetapi haruslah 
memelihara keharmonian kampus yang merupakan kawasan neutral.
  
 “Pada saya tidak salah sekadar berpakaian logo parti politik, tetapi 
mereka tidak boleh mengedar risalah dan mendaftar ahli baru ketika di 
kampus. Jika ingin membuka blog itu terpulang kepada mereka.
  
 “Memandangkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) akan dipinda 
adalah menjadi tanggungjawab universiti untuk mengimbangi kedudukan 
menuntut. Layan mereka sebagai seorang yang matang, jika berlaku sesuatu
 tidak diingini di luar kampus biarlah pihak berkuasa yang menentukan 
hukumannya,” katanya.
 
  
 Tanggungjawab matangkan mahasiswa
  
 Pengalaman menguruskan proses pilihan raya di kampus boleh mematangkan 
penuntut yang menerajuinya dan ia boleh dijadikan pembelajaran terbaik. 
Memegang jawatan sebagai pemimpin pelajar ketika berada di kampus boleh 
menjadikan seseorang penuntut lebih bertanggungjawab dan mewujudkan jati
 diri yang tinggi.
  
 Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamad Maliki Mohamed Rapiee 
berkata, tempoh pengajian di universiti ialah ruang untuk mahasiswa 
mempersiapkan diri bagi menghadapi dunia sebenar.
  
 “Penglibatan mereka dalam politik kampus adalah salah satu proses 
pembinaan karakter dalam kepimpinan. Setiap pengalaman seharusnya 
menjadi pembelajaran yang sangat berguna.
  
 “Mahasiswa mesti bersikap terbuka dan ikhlas dalam perjuangan, nilai 
dan ideologi yang dipegang tidak pula membolehkan dia menolak dan 
memusuhi pihak lain yang tidak bersependapat dengannya,” katanya.
  
 Maliki berkata, mahasiswa juga harus berani menentukan jati dirinya 
tanpa terikut-ikut dengan gaya serta tingkah laku pihak lain, terutama 
ahli politik luar yang mengamalkan sifat permusuhan dan radikal.
  
 “Sebaliknya, mahasiswa harus mampu mencorakkan persekitaran yang 
sepatutnya dicontohi oleh masyarakat di luar sana. Barulah mahasiswa 
layak disebut sebagai agen transformasi," katanya.
  
 Penuntut sudah terdedah dengan amalan berorganisasi di mana 
jawatankuasa MPP diwujudkan. MPP ditubuhkan melalui proses pilihan raya 
kampus di mana calon yang layak bertanding akan berkempen dalam tempoh 
diberikan.
  
 Semua penuntut diwajibkan mengundi untuk memilih ahli MPP pada hari 
pengundian. Pegawai Hal Ehwal Pelajar bertanggungjawab menyelia 
sepenuhnya aktiviti yang dijalankan oleh jawatankuasa MPP ini.
  
 Melalui Jawatankuasa MPP, penuntut diberi peluang untuk menyuarakan 
pandangan, komen yang membina bagi pembangunan pembelajaran dan 
pengajaran dalam program pengajian mereka.
  
 Melalui penyertaan pilihan raya kampus calon dan petugas kempen, 
berpeluang berpolitik dalam kampus. Konsep demokrasi, kepimpinan dan 
pengurusan yang biasanya diperkenalkan daripada membaca buku, dapat 
difahami melalui latihan sebenar ketika pilihan raya kampus.
 
 Selain bakat pemimpin dapat dicungkil melalui pidato dan perdebatan.
 
  
 Kewajaran Auku
  
 Kewujudan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) ketika era Tun 
Hussain Onn menyebabkan ada pihak yang tidak berpuas hati kerana 
mengekang kebebasan mahasiswa dan ahli akademik dalam menyuarakan 
pandangan secara bebas.
  
 Namun, kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, 
Datuk Saifuddin Abdullah memberi jaminan akan kesediaan kerajaan untuk 
berbincang dengan semua pihak termasuk daripada wakil mahasiswa bagi 
meminda Auku yang dilihat sebagai penghalang kepada mahasiswa untuk 
menyatakan pendirian dan pendapat tentang sesuatu isu.
  
 Tujuan utamanya adalah untuk melonggarkan peraturan sedia ada supaya 
mahasiswa dibenarkan terlibat dalam politik. Perkara tersebut wajar, 
disebabkan mahasiswa diajar bersuara jika tidak puas hati tetapi apabila
 mahu membuka mulut di gelanggang politik, mereka ‘dipancung’. Situasi 
itu menimbulkan tanda tanya di mana kedudukan mahasiswa dalam senario 
politik negara?
  
 Profesor politik dan Kerajaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Jayum
 Jawan berkata, masyarakat perlu bersikap terbuka melihat senario ini 
dan jangan membandingkan dengan kebangkitan mahasiswa zaman dulu kerana 
politik kini sudah berubah dengan pelbagai angin pembaharuan dan jika 
golongan itu terus disekat, ia memberi impak lebih buruk pada masa 
depan.
  
 Bagi aktivis-aktivis kampus demokrasi, pilihan raya kampus merupakan 
peluang keemasan untuk menjalankan kempen kesedaran demokrasi bagi 
mentadbir kampus dalam kalangan mahasiswa.
  
 Ruang berpidato dan perbahasan dalam kalangan calon-calon yang membawa 
manifesto masing-masing dilIhat sangat berkesan dalam mempertingkatkan 
kesedaran mahasiswa dalam politik kampus. Calon dan petugas perlu 
berkempen memperkenalkan diri dan konsep demokrasi kepada warga kampus 
lain.
  
 Pilihan raya kampus adalah wacana penting untuk warga kampus menghayati
 politik sebenar. Pihak universiti perlu menggalakkan mahasiswa 
mengambil bahagian secara aktif dalam pilihan raya kampus.
  
 Universiti perlu memberi kuasa sepenuhnya kepada MPP untuk menjalankan 
pilihan raya kampus sendiri dengan hanya menjadi pemerhati. sahaja 
walaupun politik kampus seolah-olah tidak berpengaruh.
 
 
CST doakan Mahasiswa yang bakal menjadi calon bersedia menghadapi semua ini kerana bukan mudah untuk menjadi pemimpin kerana urusan yang paling berat di dunia ini adalah AMANAH...Jadi CST berharap agar Mahasiswa Hebat dapat menilai baik buruk dalam membentuk diri dan akan dijadikan contoh kepada masyarakat di luar.