Perjuangan Belum Selesai

Friday, 9 December 2011

Khutbah Jumaat : Raja Berperlembagaan


Khutbah Jumaat 09 Disember 2011: "Raja Berperlembagaan¨
Jabatan Agama Islam Selangor

" RAJA BERPERLEMBAGAAN "

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan kualiti iman dan taqwa kehadrat Allah SWT
dengan terus menambah ketaatan dalam melaksanakan perintah-Nya, dan
menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita termasuk dalam golongan umat-
Nya yang mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Sempena meraikan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia
Sultan Selangor, kita sebagai rakyat negeri ini, wajar menjunjung kasih atas
keprihatinan Baginda selama ini dalam memartabatkan agama, memajukan
negeri dan pemikiran rakyat. Semoga dengan kesihatan dan keprihatinan
Baginda dalam meneruskan usaha-usaha yang baik ini mendapat ganjaran
daripada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T.:-
Sesiapa yang beramal salih, daripada lelaki atau wanita, sedangkan dia
beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkannya dengan
kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka,
dengan memberikan pahala yang lebih baik, daripada apa yang mereka
telah kerjakan¨.
(Surah al-Nahl : ayat 97)

Muslimin yang berbahagia,
Sejak kebelakangan ini, terdapat sebilangan kecil rakyat mula
mempersoalkan tentang kuasa dan peranan Raja-Raja Melayu. Kesan
daripada sikap tersebut telah membangkitkan kegelisahan di kalangan rakyat
di negeri ini.

Oleh itu kita perlu memahami bahawa sejak dahulu lagi masyarakat
Islam di negara kita, telah menerima Sultan sebagai tonggak kepada
kekuatan Islam. Hakikat ini adalah berhubungkait dengan fakta sejarah, yang
menjelaskan bahawa penyebaran agama Islam di Nusantara adalah bermula
dari istana di mana Pelaksanaan Undang-undang Syariah Islam telah
dipraktikkan dalam pemerintahan.

Apabila Raja dan para pemimpin talah melaksanakan Syariat Islam,
maka hubungan Raja dengan rakyat dan rakyat dengan rakyat semakin
akrab, kerana Islam menganjurkan Konsep Persaudaraan Sesama Islam dan
manusia mempunyai sama taraf kedudukan di sisi Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T.:-
Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka
damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan
bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat¨.
(Surah al Hujurat : ayat 10)

Sebenarnya, negara kita telah mengamalkan Sistem Raja
Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen sejak negara mencapai
kemerdekaan.

Di bawah sistem ini, institusi Raja mempunyai kuasa dan peranan yang
amat penting di dalam mempertahankan kedaulatan, kebebasan dan
ketinggian agama Islam. Institusi Raja melindungi kedudukan dan hak
istimewa orang-orang Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu serta melindungi
kaum-kaum lain yang taat setia kepada negeri ini.

Oleh itu, anggapan sesetengah pihak bahawa Raja adalah sekadar
lambang istiadat dan upacara rasmi semata-mata, tanpa sebarang kuasa,
adalah merupakan satu tafsiran yang salah serta perlu diperbetulkan.
Sekiranya semua pihak memahami sejarah dan konsep Raja
Berperlembagaan, nescaya semua pihak akan akur bahawa institusi Raja
mesti dipertahankan.

Sidang Jumaat sekalian,
Raja Berperlembagaan memiliki tiga hak untuk memenuhi
peranannya, iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak
untuk memberi galakan dan dorongan serta hak untuk memberi peringatan
dan teguran, selaras dengan

sabda Rasulullah s.a.w.:-
Barangsiapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka
hendaklah dia mengubah dengan tangannya (kekuasaannya), jikalau tidak
berkuasa, hendaklah mencegah dengan lidahnya, jikalau tidak berkuasa juga
hendaklah mencegah dengan hatinya (membenci kemungkaran itu) dan ini
adalah selemah-lemah iman".
(Riwayat Muslim)

Islam meletakkan kedudukan seseorang Raja atau pemimpin itu, mulia
dan dihormati. Mereka disyariatkan sebagai pengganti tugas kenabian atau
khalifah, dalam memelihara agama dan mentadbir urusan dunia bagi seluruh
umat Islam.

Menurut Al-Mawardi, di dalam kitabnya ¡¥Al-Ahkamus Sultaniah¡¦
menyatakan bahawa antara tugas khalifah itu, adalah menjaga hal ehwal
agama dan mentadbir hal ehwal dunia. Pemimpin juga boleh disebut sebagai
ketua khalifah Allah, untuk melaksanakan tugas dan amanah di muka bumi
ini.

Antara amanah yang perlu dilaksanakan di atas muka bumi ini, adalah
menyebarkan Syariat Islam dan berlaku adil kepada sesama manusia,
sebagaimana pesanan Allah S.W.T. yang ditujukan kepada Nabi Daud a.s.
ketika menjadi raja.

Firman Allah S.W.T.:-
Wahai Daud, sesungguhnya kami telah jadikan kamu khalifah di bumi,
maka jalankanlah hukuman di antara manusia dengan benar, dan
janganlah kamu menurut nafsumu kerana ia akan menyesatkan kamu
dari jalan Allah S.W.T. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah
S.W.T., akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal,
disebabkan mereka melupakan jalan Allah S.W.T. itu¨.
(Surah Sad : ayat 26)

Hadirin yang dirahmati Allah,
Kedaulatan Institusi Raja semenjak dahulu lagi, berupaya memupuk
perpaduan bersumberkan kebijaksanaan mereka. Raja menggabungkan tiga
unsur utama iaitu:-

Pertama; Islam
Semenjak kedatangan Islam, kekuasaan mutlak Raja berubah
kepada mentauhidkan Allah S.W.T. Baik dan buruk seseorang
Raja itu disandarkan kepada keimanan terhadap Allah S.W.T.
Islam mencorakkan pendekatan pemerintahan Raja Melayu,
daripada berpaksikan individu kepada pemerintahan berpaksikan
undang-undang serta menyempurnakan Tuntutan Fardu Ain dan
Fardhu Kifayah.

Firman Allah S.W.T.:-
Sesungguhnya agama yang diredhai Allah S.W.T. hanya Islam¨.
(Surah Ali Imran : ayat 19)

Kedua; Adat
Dalam istilah Istana Kesultanan Melayu, adat merujuk kepada
undang-undang. Paradigma budaya bangsa disandarkan kepada
adat, dan adat pula bersendikan hukum, manakala hukum
bersendikan Al-Quran dan As-Sunnah. Raja melaksanakan
pemerintahan berlandaskan undang-undang yang menjadi teras
keadilan. Undang-undang dikuatkuasakan secara adil dan
saksama, serta telus tanpa pilih kasih.

Para fuqaha' menyatakan :-
Adat kebiasaan yang baik, boleh dijadikan hukum¨.

Ketiga; Muafakat
Islam menganjurkan syura atau musyawarah. Amalan
musyawarah dan permuafakatan di antara Raja bersama para
pembesar negeri untuk mencari kata sepakat dalam
menyempurnakan tanggungjawab memerintah negeri, Raja tidak
bertindak sendirian. Raja mengamalkan budaya perbincangan
untuk mendapatkan pandangan dan dengan fikiran terbuka akan
menilai setiap berita. Dapatlah dirumuskan bahawa benih
demokrasi telah tersemai di Istana Raja Melayu. Negeri Selangor
mengamalkan elemen muafakat melalui institusi yang dikenali
sebagai Dewan Diraja, berperanan sebagai badan perunding, dan
memastikan keberkesanan pemerintahan negeri berjalan dengan
baik.

Firman Allah SWT. :-
Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan
permasalahan keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam
(sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah
kepada Allah S.W.T., sesungguhnya Allah S.W.T. mencintai orang yang
bertawakkal kepada-Nya¨.
(Surah Ali Imran : ayat 159)

Muslimin yang berbahagia,
Sesungguhnya Raja atau Sultan sebagai Ketua Agama Islam telah
memberi suatu yang amat istimewa di negara kita. Pemerintahan Baginda
membantu berlakunya proses pengembangan intelek, memacu pemikiran
rakyat agar dapat hidup dengan aman dan harmoni. Baginda bukan sahaja
dapat disaksikan menerusi kemesraan bersama rakyat, bahkan sentiasa
mengambil berat nasib mereka. Sebagai Ketua Agama Islam dan pelindung
kepada Islam, institusi Raja bertanggungjawab memastikan kesucian Islam
tidak tercemar dan identiti ummah kekal dilindungi.

Walau bagaimanapun, perpaduan amat penting bagi mewujudkan
kestabilan sesebuah negara. Perpaduan tidak akan berjaya dipupuk dalam
suasana siasah yang tidak stabil. Perlu ada kematangan dalam
menyampaikan teguran, perlu ada etika dalam menyuarakan kritikan.
Kita berkeyakinan penuh bahawa Raja-Raja kita akan terus memainkan
peranan yang lebih penting dalam mempertahankan kedudukan dan hak
ummah, memelihara agama Islam dan menangani masalah rakyat jelata. Raja
dalam menyempurnakan peranannya, memahami denyut jantung, rintihan
serta perasaan rakyat jelata di bawah naungan Baginda. Raja sebagai Ketua
Agama dan Negeri, sama ada dari aspek keperibadiannya atau dalam
menjalankan bidang kuasa untuk menjaga negeri dan kesucian agama,
amatlah dikagumi oleh rakyat jelata dan mendapat ganjaran Allah S.W.T.

Hadis daripada 'Iyadh bin Himad
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:-
Penduduk syurga itu ada tiga golongan, iaitu Sultan atau Ketua
Negara yang adil, lelaki yang berhati pengasih kepada kaum kerabat dan
orang Islam, dan orang kaya yang bersih hidupnya (terpelihara daripada
zina), lagi suka bersedekah¨.
(Riwayat Ahmad)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bagi memperkukuh kedudukan Islam, semua pihak perlu meletakkan
keutamaan agama Islam melebihi kepentingan yang lain. Demikian jua
tanggungjawab rakyat memberikan taat setia yang tidak berbelah-bahagi
kepada Raja, sebagai Ketua Agama dan Pemimpin Ummah.
Marilah kita bersatu -padu, berdiri teguh mendukung dan menjunjung
institusi Raja Berperlembagaan. Elakkan diri daripada terlibat dengan
sebarang tindakan yang boleh menggugat atau mencemar institusi Raja-Raja
serta mempertikai perkara-perkara yang telah termaktub di dalam
Perlembagaan.

Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah S.W.T.,
Rasul dan kepada Ulil Amri di kalangan kamu. Kemudian jika kamu
berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu
mengembalikannya kepada Allah S.W.T. ( Al-Quran) dan Rasul-Nya
(as Sunnah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah S.W.T. dan
hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok
pula kesudahannya¨.
(Surah al-Nisa : ayat 59)

KHUTBAH KEDUA


Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur
kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat,
sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara
umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera
dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu Ya Allah, tetapkanlah iman kami,
tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki
kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami
dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau
redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau
panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lainlain,
supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur
dan berkat.

Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di negeri Selangor
untuk melaksanakan Ibadah Zakat sebagaimana yang telah Engkau
fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang
melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi faqir dan miskin, sucikanlah
harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau
lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefaqiran
yang berpanjangan.

Sumber dari : JAIS

No comments:

Post a Comment