MENGAKUI
bahawa UMNO sejak penubuhannya sentiasa mendukung, mempertahan,
mengembang serta memperkukuhkan kedudukan agama Islam sesuai dengan
statusnya sebagai Agama Persekutuan seperti yang termaktub di dalam
perlembagaan;
MENGIKTIRAF
prinsip-prinsip wasatiyyah (perimbangan dan kesederhanaan) dan
nilai-nilai murni Islam sebagai landasan kefahaman serta amalan yang
memacu ke arah penyatuan ummah dan keharmonian masyarakat seterusnya
menjadi benteng daripada sebarang fahaman melampau, perlakuan songsang
dan kebebasan tanpa batas;
MEYAKINI
bahawa akses pendidikan anak bangsa mesti dibuka seluas-luasnya
menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan sistem pendidikan
diperkukuhkan bagi melahirkan insan yang bersifat glokal yang mempunyai
ketaqwaan, kekuatan mental, kemuliaan akhlak dan kesempurnaan akal budi;
MENYEDARI
terdapat hampir 180,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) setiap tahun yang tidak
mendapat tempat di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi di negara ini
dan kebanyakannya merupakan anak-anak Melayu yang berpotensi untuk
menceburi bidang kemahiran teknikal dan vokasional;
MEMPERAKUI
akan peranan dan kepentingan golongan muda yang merupakan 41 peratus
dari jumlah pemilih berdaftar serta bakal menjadi penentu kepada masa
depan dan kesinambungan perjuangan memartabat agama, bangsa dan tanah
air;
MENGINSAFI
akan keperluan untuk menerima kepelbagaian bangsa dan etnik seterusnya
masyarakat perlu bergerak daripada sikap, amalan dan semangat
bertoleransi kepada tahap yang lebih tinggi iaitu konsep penerimaan atau
‘acceptance’ seperti yang di gagaskan dalam falsafah 1Malaysia;
MAKA
Perhimpunan Agung UMNO pada hari ini membuat ketetapan seperti berikut:
1.
MENYOKONG PENUH pendekatan wasatiyyah oleh kerajaan di dalam
menguruskan kepelbagaian agama dan budaya, amalan demokrasi, hak
individu dan masyarakat, keadilan sosial dan pembangunan negara serta
menolak fahaman ekstrem, songsang dan melampau dalam usaha mencari
hasanah (kebaikan) di dunia dan hasanah di akhirat demi mencapai
al-Falah (kejayaan).
2.
MENYARANKAN agar Transformasi Dakwah yang bersifat universal dan
mencapai golongan sasar dilaksanakan secara interaktif, menarik, sesuai
dengan peredaran zaman dan berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.
3.
MENGGESA agar adab, budaya, nilai murni dan sistem sosial Melayu/Islam
dikembalikan di dalam masyarakat melalui pelbagai kempen di peringkat
sekolah, institusi pengajian awam dan swasta di seluruh negara bagi
membina generasi wasatiyyah yang lebih menghayati dan mengamalkan ajaran
Islam sebenar.
4.
MENDESAK supaya usaha-usaha penyatuan ummah diteruskan tanpa ada noktah
dan dilaksanakan merentasi batas fahaman politik, kepentingan kelompok
dan individu bagi merangsang kekuatan dan mencipta kegemilangan umat.
5.
MENYARANKAN supaya kerajaan terus memperkasakan instrumen kewangan,
pembangunan aset dan dana Islam serta segera melaksanakan Undang-undang
Pengurusan Sistem Kewangan Islam agar Malaysia dapat diangkat dan
dimasyhurkan menjadi hub Pengurusan dan Kewangan Islam.
6.
MENUNTUT agar kerajaan melipat gandakan usaha untuk meningkatkan
kecemerlangan pendidikan yang menjurus ke arah pembangunan modal insan
secara holistik, kreatif, inovatif dan interaktif, serta memiliki
keupayaan soft skill dan keupayaan berdikari yang tinggi.
7.
MENYOKONG keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan dasar
Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI)
bagi memperkasa kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di
sekolah rendah dan menengah sejajar dengan Akta Pendidikan 1996.
8.
MENGGESA Kerajaan agar menjadikan pendidikan Vokasional dan Teknikal
sebagai pendidikan arus perdana bermula seawal pendidikan menengah
rendah dan memperluaskannya dengan melibatkan bidang-bidang kemahiran
baru bagi melahirkan modal insan yang berkemahiran dan
berkebolehpasaran.
9.
MENDESAK agar kerajaan terus membantu dan memperkasakan sistem
pendidikan Islam dan kualiti sekolah-sekolah beraliran agama agar produk
yang dilahirkan dapat bersaing dari segi akademik, mempunyai jati diri
yang kukuh, berpegang kepada prinsip-prinsip wasatiyyah dan dapat
menjadi penyumbang utama dalam memajukan ummah dan negara.
10.
MENDUKUNG hasrat kerajaan untuk melibatkan, menghak upayakan dan
mendampingi generasi muda secara berterusan melalui pelbagai pendekatan
dan platform termasuk golongan mahasiswa melalui pindaan Seksyen 15 Akta
Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta memperkasakan Parlimen
Mahasiswa
Sumber dari Tun Faisal dot com
Cakna Siswa Timur:
CST sangat kagum dengan ucapan dan penjelasan oleh Ustaz Fathul Bari. Kepada yang masih ragu2 dan kurang jelas 2,renung2kanlah untuk memuhasabahkan diri kembali. adakah selama ini kepimpinan yang ada hanya pentingkan diri? Kalau Ya, CST nak tengok sikit apa penjelasan tentang jawapan anda. Seperti apa yang disampaikan beliau dalam ucapannya terhadap penyucian dan pendidikan. Renung2kanlah..
No comments:
Post a Comment